Harap PROTON keluar kereta elektrik

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berharap pada satu masa nanti PROTON dapat mengeluarkan kereta elektrik tersendiri.

Katanya, di kebanyakan negara, kerajaan memberi insentif kepada pembeli kereta elektrik, sekaligus  kenderaan terbabit bakal menjadi pilihan rakyat.

“ Saya dapati di masa hadapan kenderaan sebegini menjadi pilihan kerana kurang pencemaran. Namun kita perlu ingat walaupun kereta tidak cemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesen janakuasa juga mencemarkan udara.

“Kereta elektrik belum sampai lagi ke tahap bebas pencemaran udara. Akhirnya mungkin kita terpaksa guna kereta hidrogen, itupun terdapat juga masalah lain yang perlu diuji dan diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam catatan Facebooknya selepas dibawa PROTON melihat lebih dekat Polester 2, model kereta elektrik yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo.

Dalam perkongsian itu, bekas Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON) itu diiringi Pengerusi PROTON ketika ini, Syed Faisal Albar melihat jentera elektrik berwarna putih dengan nombor pendaftaran WHX 2020.

“Pagi tadi DRB-Hicom telah perkenalkan sebuah kereta elektrik ‘Polestar 2’ kepada saya. Ini adalah sebuah kereta yang diusahakan oleh Geely, rakan usahasama PROTON.

“Saya difahamkan yang dengan sekali cas ianya boleh capai sehingga 400 kilometer (km). Sekali cas mencukupi untuk guna kereta ini seperti biasa. Bagi cas semula pula hanya perlu kurang dari 2 jam untuk dapat 100 peratus bekalan penuh.

Jika cas gunakan kuasa elektrik di rumah, ia mengambil masa selama sekitar 7 jam. Tetapi sekarang ini tidak susah kerana sudah terdapat lebih 1000 stesen di seluruh negara, tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan di mana sahaja,” kata Dr Mahathir.

Menurut Dr Mahathir, dari aspek reka bentuk, kereta terbabit amat canggih, manakala dalaman pula kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan ‘tablet’.

“Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di dashboard seperti kereta biasa. “Saya harap pihak PROTON dapat majukan projek sebegini supaya satu masa nanti PROTON juga dapat keluarkan kereta elektrik tersendiri,” katanya.

Sebelum ini timbul spekulasi yang berlegar di alam maya bahawa Polester 2 adalah model Proton Perdana baharu.

Related posts

Leave a Comment