222 kerusi Parlimen PRU15 diisi

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir semalam 7 Disember 2022 selepas kerusi P.017 Padang Serai menjadi kerusi terakhir dipertandingkan.

Daripada 222 kerusi, Pakatan Harapan (PH) mendahului dengan 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) 74 dan Barisan Nasional 30.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula mencatatkan kemenangan 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah 6, Warisan 3, Bebas 2, Parti Bangsa Malaysia 1 dan Parti Kesejahteraan Demokratik 1.

Sebanyak 39 parti layak bertanding dalam PRU15 ini sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding PRU14 pada 2018.

PRU15 turut menyaksikan enam parti gabungan bertanding bagi meraih sokongan pengundi iaitu BN, PN, PH, GPS, GRS, dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Seramai 1,386 calon disahkan layak bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas proses penamaan calon selesai.

Bagaimanapun dua calon meninggal dunia menjelang hari mengundi dan pengundian di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman dilewatkan sehingga semalam berbanding tarikh asal 19 November.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRU15 merekodkan seramai 21,173,638 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRU-15 meliputi 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Angka ini termasuk 1.4 juta pengundi berumur 18-20 tahun yang bakal turun mengundi buat kali pertama.

Pendaftaran secara automatik pemilih berusia 18 tahun ke atas sudah diwartakan dan berkuat kuasa sejak 15 Disember 2021.

Related posts

Leave a Comment