KULIM 8 Dis. – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, menyifatkan kemenangannya sebagai bukti rakyat menolak pembentukan kerajaan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) itu juga adalah manifestasi penolakan rakyat terhadap pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Keputusan ini adalah satu mesej jelas daripada rakyat Malaysia dan warga Padang Serai yang menolak Kerajaan Campuran PH-BN dan Kabinet Kleptokrat dan membantah pelantikan Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah,” katanya.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, Perdana Menteri baharu perlu berhati-hati kerana rakyat sentiasa menghakimi keputusan yang dibuat oleh beliau.
“Saya beraspirasi untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan wakil rakyat yang lain yang telah dipilih oleh rakyat pada PRU15 ini untuk menjadi pembangkang yang berwibawa dan memantau tindak tanduk Kerajaan Campuran PH-BN,” katanya.
Beliau juga akan membawa aspirasi suara warga Padang Serai di Parlimen kelak dan memastikan yang suara dan hak warga Padang Serai akan sentiasa terjamin.
Sementara itu Pengerusi PN Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keputusan di Parlimen Padang Serai bukan lagi menunjukkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PH) ditolak rakyat.
Namun, ia membuktikan rakyat terutama pengundi di kawasan Parlimen berkenaan sudah ‘meluat’ dengan gabungan berkenaan.
“Kalau perbezaan majoriti 1,000 atau 2,000 (undi) itu (memang) rakyat tolak tetapi kalau majoriti sampai berbelas ribu, itu rakyat meluat, itulah signal keputusan (di) Padang Serai kepada suasana politik hari dan inilah (yang berlaku) selepas BN support Pakatan Harapan,” katanya.
Tambahnya, sikap menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh, tidak mengamalkan politik dendam, dan menjaga hubungan dengan semua pihak menjadi antara faktor kepada momentum yang digerakkan PN di negeri Kedah ketika ini.
Azman diumumkan menang di Parlimen Padang Serai dengan majoriti besar sebanyak 16,260 undi menewaskan lima calon lain.