SPR harap pilihan raya serentak 6 negeri

KULIM 8 Dis. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi enam negeri yang belum mengadakannya dapat dilaksanakan secara serentak bagi memudahkan urusan SPR.

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh, berkata, langkah itu akan memudahkan petugas membuat penyelarasan.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada kepemimpinan negeri-negeri berkenaan untuk memilih waktu yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya di enam negeri itu iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, pilihan raya bagi keenam-enam negeri dianggarkan menelan belanja kira-kira RM450 juta.

Beliau juga memberitahu, berikutan peningkatan jumlah pengundi setiap tahun, SPR meneliti kemungkinan memanjangkan tempoh untuk mengadakan pilihan raya melebihi 60 hari selepas pembubaran Parlimen atau DUN.

Katanya, memanjangkan tempoh seperti diperuntukkan ketika ini adalah bagi membolehkan suruhanjaya berkenaan melakukan persiapan sebaik mungkin sesuai dengan pertambahan jumlah pengundi.

“Kita akan cuba panjangkan lagi sebab tempoh sekarang ini (60 hari), daripada dahulu hingga sekarang agak sempit (suntuk) sikit dengan keadaan jumlah pengundi yang banyak iaitu daripada 14.9 juta sebelum ini meningkat kepada 21.1 juta.

” Pengundi berusia 18 tahun ini tiap-tiap tahun akan bertambah sebanyak setengah juta, jadi (jumlah pengundi) akan bertambah dan terus bertambah,” katanya pada sidang media malam tadi.

Beliau sebelum itu hadir pada  pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Abdul Ghani berkata, secara keseluruhan, proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi agak baik.

“Secara keseluruhan saya lihat untuk PRU15, peratus keluar mengundi ialah sebanyak 74.71… satu gambaran masyarakat kita mengambil tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya

Related posts

Leave a Comment