TPM fokus banjir, selesai isu MA63

PUTRAJAYA 5 Dis. – Dua isu iaitu bencana banjir dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Ahmad Zahid akan mempengerusikan pengurusan bencana dan langkah segera untuk menghadapi banjir, memantau serta membuat persiapan manakala  Fadillah diberikan tugas  memastikan semua terma atau perkara yang masih tersangkut dalam MA63 diselesaikan segera.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata, kebanyakan terma MA63 sudah dapat diselesaikan.

Bagaimanapun terdapat beberapa isu masih menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin di Sarawak dan Sabah dan Fadillah diberi tempoh sebulan supaya penyelesaian ketara dapat dicapai dalam menangani isu ditimbulkan.

Katanya, jika perlu, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri boleh dilakukan untuk memantau pelaksanaan perjanjian berkenaan.

Anwar berkata, sebelum ini Premier Sarawak,  Abang Johari Abang Openg membangkitkan mengenai isu membabitkan kesulitan pelaksanaan terma perjanjian terbabit kerana ia memerlukan kelulusan daripada banyak jabatan dan kementerian.

Hal ini saya percaya akan dicadangkan TPM untuk dapat dilaksanakan segera kerana saya tidak mahu perkara ini berlanjutan.

“Ia juga bagi masalah pembangunan kerana kita tidak mahu terlalu ketara kesenggangan mengenai pembangunan di kawasan mewah dan kawasan paling miskin, Sabah Sarawak serta juga beberapa kawasan terpencil di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata, bersama Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, kerajaan memberi tugas penyelarasan ini kepada Fadillah untuk Sabah Sarawak serta Ahmad Zahid untuk Semenanjung.

Related posts

Leave a Comment