Fadillah catat sejarah baharu

PUTRAJAYA 5 Dis. – Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof mencipta sejarah baharu apabila memulakan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini, jawatan yang pertama kali disandang oleh anggota  Parlimen Sarawak.

Fadillah yang juga juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas di kementerian itu pada pukul 8.30 pagi ini.

Bekas Menteri Kerja Raya itu dilantik menyertai barisan Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

Fadillah, 60, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah antara tujuh ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri terdiri lima wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dua dari Sabah iaitu masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Empat wakil GPS adalah Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya; Tiong King Sing (Menteri Pelancongan), Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Fadillah berpengalaman luas dalam Kabinet Persekutuan dan pernah berkhidmat di bawah empat Perdana Menteri.

Beliau mula diberi kepercayaan sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

Fadillah kemudiannya dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013 dalam Kabinet Najib Razak dan terus diberi kepercayaan mengetuai kementerian itu di bawah pentadbiran  Muhyiddin Yassin.

Fadillah kemudian dilantik sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet Ismail Sabri Yaakob pada 30 Ogos tahun lalu.

Sementara itu Fadillah memulakan tugas di Kementerian Perladangan dan Komoditi di Presint 2, Putrajaya dengan mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas rasmi di kementerian.

Beliau kemudian menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian.

Hadir sama Pemangku Ketua Setiausaha yang juga Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Tuan Mad Zaidi Mohd Karli, yang telah menyampaikan taklimat mengenai kementerian.

“Dalam pertemuan pertama dengan pengurusan dan pegawai tertinggi kementerian saya mengingatkan pentingnya peranan penjawat awam dalam membantu meningkatkan sektor komoditi negara, sekaligus merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur,” katanya.

Pada pertemuan itu juga beliau menekankan bahawa Kementerian Perladangan dan Komoditi memainkan peranan penting dan memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam menghadapi krisis ekonomi pada tahun hadapan.

Related posts

Leave a Comment