Sokong Kerajaan Perpaduan, bantu Sivakumar

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran menggesa rakyat memberi sokongan kepada barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang dibentuk kelmarin.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu menegaskan, barisan Jemaah Menteri yang mengangkat sumpah jawatan semalam adalah Kabinet yang diperlukan pada masa ini.

“Saya menggesa mereka untuk melihat gambaran lebih besar. Inilah Jemaah Menteri yang kita perlukan pada masa ini, Jemaah Menteri inilah yang mendapat sokongan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Mengenai kedudukannya yang tidak terpilih dalam senarai Kabinet, bekas Menteri Sumber Manusia itu, berkata penggantinya di kementerian berkenaan berwibawa menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberi.

Kulasegaran turut meminta semua pihak menyokong Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia yang disifatkannya seorang yang berpengalaman luas dan beliau sedia memberi bantuan jika diperlukan.

“Sivakumar mempunyai pengalaman politik yang luas dan berkeupayaan untuk memacu kementerian ke hadapan. Jika perlu, seluruh pasukan dan saya sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan kepadanya. Kita kembali berada di landasan yang betul,” katanya.

Sivakumar pernah mencatat sejarah dalam politik di Perak atau mungkin di Malaysia kerana semasa beliau menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), sidang DUN pernah berlangsung di bawah pokok hujan-hujan pada 3 Mac 2009.

Beliau pernah memanggil sidang tergempar untuk membentangkan usul ke atas peralihan tampuk kuasa kerajaan negeri.

Persidangan itu berlangsung di bawah pokok hujan-hujan, selepas dipercayai Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat telah dihalang daripada memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.

Insiden itu menarik tumpuan ramai dan diingati sebagai peristiwa yang melucukan, kerana prosiding itu berlaku di bawah sebatang pokok dengan Sivakumar lengkap berpakaian sebagai Speaker DUN dengan jubah dan songkoknya.

Memulakan kerjaya politik pada 1997 dengan menyertai DAP, Sivakumar pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Selepas 25 tahun berkecimpung dalam politik, Sivakumar, 51, yang menyandang kerusi Parlimen Batu Gajah sejak 2013, dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan pengkhususan dalam Pentadbiran Awam daripada Universiti Malaya pada 1994 dan seterusnya Ijazah Bersekutu dalam Pentadbiran Agensi Insurans (AIAA) daripada Life Office Management Association, Amerika Syarikat dalam tahun 2000.

Selain politik, bapa kepada dua anak itu secara profesional terbabit dengan Yayasan Perak, Ipoh selaku seorang daripada Lembaga Pengarahnya dalam 2019 dan Lembaga Pemegang Amanah (Kuala Lumpur) Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia pada 2018.

Pada PRU12, beliau memenangi kerusi DUN Tronoh di Perak sebagai muka baharu dan menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Lee Kim Choy dengan majoriti 2,571 undi.

Pada tahun sama, beliau juga mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Perak dan pada PRU13, Sivakumar bertanding di Parlimen Batu Gajah dan memenangi pertembungan satu lawan satu dengan calon BN, Loo Thin Tuck dengan majoriti 53,770 undi yang berjaya dipertahankan beliau sehingga kini.

Dalam PRU15, Sivakumar sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Batu Gajah dengan majoriti 53,836 undi menewaskan wakil Perikatan Nasional, Woo Cheong Yuen dan Teoh Chin Chong daripada BN

Related posts

Leave a Comment