Malaysia beri hujah di ICJ konflik Palestin-Israel

PUTRAJAYA 20 Feb. – Menteri Luar Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Beliau yang diiringi Peguam Negara, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia pada pukul 12.10 tengah malam, Jumaat ini (waktu Malaysia) di Peace Palace, The Hague.

Pendapat Nasihat adalah proses penting bagi memperoleh nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selaras Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

Mohamad berkata,, permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ini terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diterima pakai pada 30 Disember 2022 yang mana Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

Katanya, Malaysia menyertai prosedur Pendapat Nasihat itu bagi membantu ICJ meneliti persoalan perundangan dikemukakan Perhimpunan Agung PBB, selepas turut menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan Kenyataan Bertulis kepada ICJ pada 25 Julai lalu.

“Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan antara negara.

Penyertaan di sesi pendengaran awam ini adalah pembabitan kali kedua Malaysia secara langsung dalam prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

“Malaysia pada 2004, sudah menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di Wilayah Pendudukan Palestin, yang mana ICJ memutuskan tindakan Israel bertentangan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, Perhimpunan Agung PBB sudah mengemukakan beberapa persoalan perundangan bagi ICJ memberikan pendapatnya, antaranya kesan perundangan akibat pencabulan berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri.

Selain itu, dasar dan tindakan Tel Aviv yang memberi kesan terhadap status perundangan pendudukan Israel serta impak perundangan kepada semua negara dan PBB susulan hasil pendudukan terbabit.

“Penyertaan dalam prosedur Pendapat Nasihat ini melambangkan usaha bersepadu Malaysia di pelbagai platform antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan ASEAN bagi menyokong Palestin dan membawa Israel ke pengadilan.

“Sebagai negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin, kehadiran Malaysia di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu kemanusiaan sejagat,” katanya.

Mengenai kenyataan bertulis Malaysia, Mohamad berkata, ia menekankan hujah berkaitan dasar dan tindakan Israel, termasuk pendudukan berterusan, aktiviti penempatan dan pengilhakan di wilayah Palestin, yang mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.

“Kenyataan berkenaan juga menegaskan pendudukan Israel adalah haram dan bertentangan undang-undang antarabangsa. Saya akan mendalami aspek hujahan ini semasa membentangkan Kenyataan Lisan Malaysia nanti,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited, berdasarkan kemampuan dan keupayaannya untuk mencari penyelesaian berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa.

“Justeru, saya mengulangi pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selain sentiasa meneruskan usaha memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB,” katanya.

Related posts

Leave a Comment