Lantikan Zahid membingungkan

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Pelantikan Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri amat membingungkan ketika Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang gusar dengan pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu berkata, pelantikan Zahid memberi isyarat salah daripada kerajaan yang berikrar mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

Pegawai Eksekutif IDEAS. Dr Tricia Yeoh berkata, walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan melalui semua proses rayuan untuk mengekalkan kerusi di Parlimen, ahli-ahli Kabinet yang dilantik perlu mempunyai standard yang lebih tinggi.

“Hal ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

IDEAS juga menyatakan, pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan tidak selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik yang telah diisytiharkan Anwar sebagai agenda teras Kerajaan Perpaduan.

Katanya, komitmen untuk mengasingkan portfolio juga telah dibuat dengan jelas dalam manifesto pilihan raya PH sebelum ini.

Beliau mengingatkan bahawa skandal rasuah 1MDB sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting Kabinet ini secara serentak.

Tiga pentadbiran sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk proses semak dan imbang.

Justeru, walaupun secara politik sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan, peranan perlu diasingkan untuk proses semak dan imbang.

“ Perdana Menteri harus komited untuk mencari seorang Menteri Kewangan yang sesuai; seseorang yang boleh melaksanakan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab.

Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama,” kata Dr Yeoh.

Mengulas Kabinet baharu, Perdana Menteri telah menunaikan sebahagian daripada janjinya untuk mewujudkan Kabinet yang lebih kecil serta perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan Kabinet semasa.

Hal ini dicerminkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia, dan enam wakil Borneo termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, IDEAS amat berharap agar Perdana Menteri tidak mengikuti langkah pentadbiran sebelum ini yang melantik timbalan menteri dan duta khas bertaraf menteri untuk memuaskan hati pelbagai pihak menjadikan saiz Kabinet terlalu besar.

IDEAS juga mengucapkan tahniah kepada semua menteri yang telah diberi tanggungjawab dan peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

“Sudah tiba masanya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya yang dijanjikan oleh gabungan mereka kepada pengundi walaupun setiap gabungan menekankan aspek dasar yang berbeza dalam manifesto masing-masing, “ katanya.

IDEAS juga berharap pembaharuan institusi utama yang disebut oleh BN dan PH ketika tempoh berkempen seperti janji menggubal Undang-undang Pendanaan Politik dan pengasingan kuasa antara peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

Sehubungan dengan itu, IDEAS berharap akan dapat menjalin hubungan rapat dengan Menteri Undang-undang yang baru dilantik serta semoga beliau akan melaksanakan pembaharuan ini secara agresif dalam masa terdekat.

“Kami juga menyeru Perikatan Nasional untuk memainkan peranannya sebagai pembangkang yang berkesan dan adil kepada kerajaan sedia ada,” katanya.

IDEAS juga menggesa semua pihak yang melobi pelantikan politik ke dalam kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun persekutuan (FSB) untuk meneruskan semangat pengorbanan dan kemurahan hati dalam memastikan kerajaan perpaduan yang stabil.

Katanya, kejayaan kerajaan ini bergantung kepada tanggungjawab kolektif setiap ahli Parlimen daripada parti-parti utama yang telah membentuk kerajaan.

Related posts

Leave a Comment