PN, berhentilah bernostalgia

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Perikatan Nasional (PN) dinasihat supaya berhenti bernostalgia dan menerima hakikat kemenangan di 73 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak mampu untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali, berkata, pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu memerlukan majoriti mudah dengan bilangan sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen.

Beliau menyangkal dakwaan PN, Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan minoriti, sebaliknya menjelaskan pembentukannya membabitkan sokongan 148 Ahli Parlimen.

Ia membabitkan 82 dari Pakatan Harapan (PH), diikuti 30 BN, 23 wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS); enam wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS); tiga Warisan; dua Bebas serta masing-masing satu dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Dalam kenyataan melalui Facebooknya, Dr Khairuddin berkata, GPS dan GRS sebelum ini bersama PN kerana menyangkakan BN bersedia untuk menyokong.

Bagaimanapun apabila menyedari bahawa ia adalah sokongan sebahagian individu wakil rakyat BN yang “dicuri” dari pintu belakang mereka beralih sokongan kepada PH dan BN. “

Sekiranya PN masih belum berpuas hati, 19 Disember menunggu mereka untuk mengusulkan sesuatu di Parlimen nanti.

“Sementara itu terimalah keputusan pembentukan kerajaan perpaduan ini. Jika masih mahu menubuhkan kerajaan pujuklah BN menerusi pintu depan lalu akan diikuti oleh GPS dan GRS namun berbangkit persoalan bolehkah kerajaan tersebut stabil atau mengulangi pergolakan 2020-2022?,” katanya.

Related posts

Leave a Comment