Gobind tolak pelawaan sertai Kabinet

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Persoalan mengenai ketiadaan nama Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan terjawab apabila Ahli Parlimen Damansara itu mengakui menolak tawaran berkenan.

Govind berkata, beliau dipelawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan, tetapi menolaknya atas pertimbangan sendiri.

“Begitu ramai yang bertanya kenapa saya tidak tersenarai dalam Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam. Anwar meminta saya menjadi sebahagian daripada Menteri Kabinetnya.

Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan perkara itu, saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak dapat berbuat demikian dan akan memberi tumpuan terhadap peranan saya sebagai Ahli Parlimen serta membantu kerajaan dalam segala cara yang saya boleh lakukan,” katanya melalui Facebooknya hari ini.

Walaupun tidak ada dalam Kabinet, beliau menegaskan akan terus membantu Anwar serta kerajaan dalam usaha mereka memimpin negara ke tahap yang lebih baik.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) atas pelawaan yang diberikan sebelum ini.

“Saya sekali lagi menyatakan keyakinan penuh saya terhadap kepemimpinan beliau dan percaya bahawa beliau akan berjaya membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Ketika kerajaan PH yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Gobind dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Turut tidak dinamakan dalam Kabinet Anwar kali ini dan pernah memegang portfolio menteri sebelum ini adalah Pengerusi Kebangsaan DAP, yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng serta Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran.

Wakil DAP kali ini adalah Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar sebagai Menteri Sumber Manusia serta Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan.

Related posts

Leave a Comment