BN Sabah kecewa tiada wakil Kabinet

KOTA KINABALU 3 Dis. –  Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin kecewa apabila tiada seorang pun Ahli Parlimen BN negeri itu dilantik sebagai menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Menurut Bung, keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu, seolah-olah meminggirkan BN Sabah yang mempunyai tujuh Ahli Parlimen selain menjadi penyokong terawal kepada pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Tiada seorangpun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri,” katanya dalam kenyataan media berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan malam tadi.

Sabah hanya diwakili Ahli Parlimen Penampang, Ewon Benedick (PH-UPKO) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali (GRS) yang memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah dengan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), diikuti GRS (enam), PH (lima), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Selain Bung yang menang di Kinabatangan, turut dipilih adalah Mohamad Alamin (Kimanis), Arthur Joseph Kurup (Pensiangan), Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan), Shahelmey Yahya (Putatan), Siti Aminah Aching (Beaufort) dan Suhaimi Nasir (Libaran).

Menurut Bung, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berharap peminggiran BN Sabah dalam Kabinet baharu itu bukan petanda peminggiran negeri ini daripada perhatian Kerajaan Perpaduan persekutuan, khususnya dalam aspek pembangunan.

“Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah umpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018,” katanya.

Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain bekalan elektrik dan jalan luar bandar yang masih belum menyeluruh.

Related posts

Leave a Comment