PH sedia bersama BN hadapi PRN Selangor

SHAH ALAM 30 Nov. – Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak menolak kemungkinan membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Selangor yang dijangka pada pertengahan tahun depan.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, berkata kesediaan itu selepas mengambil kira kerjasama PH dan BN dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Kalau ada persefahaman (dengan BN) sudah pasti sebab kita ingin meneruskan apa berlaku di Pusat. Pasti formula pusat itu ada nilai kestabilan, walaupun Selangor cukup stabil, kita tidaklah besar kepala atau bersikap tamak haloba, kalau ada ruang perbincangan kita bincang.

“Saya berharap dapat mengekalkan Selangor. Kalau terpaksa sendirian kita sendirianlah. Kalau dapat gabungan dari rakan lain mungkin boleh membantu kita di beberapa kerusi lagi. Kita terbuka untuk perbincangan kerjasama PRN,” katanya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran HALALSEL ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Mengenai status ketua pembangkang Selangor, ia tidak begitu signifikan memandangkan kini BN adalah sebahagian Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Kita ada enam bulan sahaja, kita boleh datang satu kali lagi sidang DUN iaitu Mac, jadi maknanya kalau ada perubahan ketua pembangkang ia tidaklah begitu signifikan.

“Daripada habiskan masa susun kerusi DUN lebih baik kita aturkan perbincangan bagaimana hendak berdepan dengan kerusi dalam PRN, perbincangan kerusi lebih baik daripada ubah kerusi dalam dewan.

“Kalau ada arahan esok, kita boleh tukar tiada masalah, kita boleh aturkan. Kita masih belum dapat menetapkan bagaimana (Kabinet) kerajaan Pusat,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan beliau mendapat tawaran untuk membarisi Kabinet kerajaan Pusat, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu lebih cenderung untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor

“Setakat ini saya masih lagi ‘prefer’ untuk memastikan kemenangan PH dalam PRN Selangor ini. Jadi saya tak ambil peduli tentang posisi di pusat dan sebagainya.

“Fokus saya sebagai pengerusi PH Selangor, Menteri Besar.. saya akan ‘deliver’ untuk pastikan PH menang, mendapat majoriti dan kedudukan stabil sebagaimana yang kita capai tiga penggal lalu. Kalau tanya, saya prefer untuk kekal di Selangor,” katanya.

Related posts

Leave a Comment