Kes harian Covid-19 catat peningkatan

PUTRAJAYA 29 Nov. – Kes jangkitan harian Covid-19 semalam, Isnin mencatatkan peningkatan dengan merekodkan 2,465 kes termasuk satu kes import berbanding 2,022 kes pada hari sebelumnya.

Data di portal KKMNOW menunjukkan jumlah keseluruhan kini meningkat kepada 4,950,315 dan 38,444 kes import.

Lima kes kematian direkodkan akibat jangkitan berkenaan, dengan dua kes kematian berlaku di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID) yang membawa jumlah keseluruhan 36,657 orang serta 7,800 kes BID.

Sementara itu, sebanyak 27,638 kes aktif dicatatkan semalam dan daripada jumlah itu 25,614 kes atau 92.7 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah dan tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC).

Sebanyak 1,932 pesakit mendapatkan rawatan di hospital dan daripada jumlah itu, sebanyak 92 orang  ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), di mana 51 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Semalam juga merekodkan 2,029 pesakit sembuh yang membawa kepada jumlah keseluruhan pesakit pulih meningkat kepada 4,924,464.

Sementara itu Selangor terus mendahului dengan merekodkan 1,306 berbanding  768 semalam menjadikan jumlah keseluruhan 1,532,003 diikuti Kelantan 147 (81), Kedah 138 (148), Sabah 137 (154), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 108 (159).

Melaka 92 (128), Negeri Sembilan 86 (59), Pulau Pinang 81 (134), Sarawak 75 (87), Terengganu 66 (55), Perak 66 (75), Wilayah Persekutuan Putrajaya 59 (54), Pahang 51 (65), Johor 42 (37), Perlis 8 (8) dan Wilayah Persekutuan Labuan 3 (10 ).

Related posts

Leave a Comment