Kabinet : Elak individu ada kes mahkamah

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Seorang pengamal perundangan, menyarankan supaya keanggotaan Kabinet baharu tidak melibatkan mana-mana individu yang masih menghadapi perbicaraan jenayah dalam pelbagai peringkat di mahkamah.

Peguam, Haniff Khatri berharap , Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak melantik individu yang terlibat dengan menamakan beberapa individu iaitu Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Lim Guan Eng (DAP) dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA).

Dalam kenyataan melalui Facebooknya, beliau mengakui pembentukan Kabinet adalah antara cabaran utama yang dihadapi Anwar untuk terus memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dalam hal keadaan ‘Parlimen tergantung’

Haniff merujuk kenyataan Anwar yang antara lain menyentuh mengenai pelantikan anggota Kabinet termasuk mereka yang sedang menghadapi kes mahkamah.

Anwar dilaporkan berkata: “Pandangan semua kita ambil kira. Tapi seperti mana ktia tahu dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman…yang lain tu akan diberi pertimbangan,”

Dalam hal ini, Haniff berkata, terdapat perbezaan besar dan ketara dalam fahaman prinsip perundangan “seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh Mahkamah”, yang mana ia prinsip penting dalam menentukan sesiapa sahaja tidak diberi layanan negatif dalam kehidupan sehinggalah keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata, seseorang yang dilantik dalam Jemaah Menteri akan dapat tanpa ragu-ragu fokus  dan tekun dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri ataupun Timbalan Menteri, tanpa perlu mengambil masa untuk hadir di Mahkamah saban hari yang akan berterusan dalam tempoh berpanjangan.

“Rakyat dahagakan satu Kerajaan yang fokus dan tekun, serta bebas daripada apa-apa isu atau faktor yang boleh mencacatkan atau membantutkan pelaksanaan tanggungjawab menteri atau timbalan menteri itu,” katanya.

Beliau berkata, semua yang menghadapi pertuduhan jenayah akan berhak menampilkan segala bentuk pembelaan, termasuklah alegasi “tindasan politik” atau “pertuduhan terpilih” sekalipun, dan mahkamah akan menilai segala pembelaan terbabit sebelum membuat keputusan muktamad.

“Konsep dan prinsip  “seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh Mahkamah” adalah betul dan tepat, namun ianya adalah khilaf dan pincang untuk melebarkan konsep dan prinsip itu ke tahap pelantikan dan pembentukan satu jemaah menteri yang baharu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment