Ejen Israel: Polis siasat Hassan Saad

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Polis menerima laporan berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Saaduddin, berkata siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Anwar hari ini menghantar surat tuntutan kepada Hassan dan memberi masa tiga hari supaya menarik balik dengan serta-merta kenyataan dan audio fitnah mengaitkan pelantikannya dengan pengaruh Israel.

Perdana Menteri yang mengemukakan surat tuntutan (LOD) melalui firma guaman SN Nair & Partners hari ini, turut menuntut Hassan membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan peguam beliau serta disiarkan dalam akhbar dan media pilihannya.

Selain itu, Hassan diminta mengemukakan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam perkataan serta audio memfitnah berkenaan.

Menurut surat tuntutan ditandatangani peguam SN Nair, jika Hassan gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, Anwar akan memohon perintah injuksi dan memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi pampasan yang susbtantif di atas reputasinya yang terjejas teruk.

Ia menyatakan perkataan dan audio fitnah itu dikaitkan kepada Hassan melalui audio dan gambar latar belakang yang mana Hassan tidak pernah menafikan perkaitan dengan dirinya walaupun selepas ia ditularkan di Twitter serta aplikasi media sosial lain.

“Oleh itu, anak guam kami menganggap YB (Hassan) yang menyebabkan diterbitkan (perkataan dan audio fitnah) atau diterbitkan semula.

“Jika YB menafikan perkataan dan audio fitnah itu, kami diarahkan oleh anak guam untuk menuntut pengesahan umum dan secara bertulis bahawa YB tidak mengungkapkan perkataan itu atau menyebabkan ia diterbitkan semula,” kata surat itu.

Menurut surat tuntutan itu, Anwar menyatakan pada 27 November lalu, Hassan menerbitkan atau menyebabkan penerbitan satu hantaran audio di aplikasi Twitter di bawah nama Mohd Ropi Mat SinAudio itu juga dipetik pengguna Twitter di bawah nama ‘Pemikir Malaysia’ yang mendapat tontonan melebihi 431,500 kali dan reaksi ‘like’ melebihi 4,800 kali.

Related posts

Leave a Comment