Obor perjuangan terus menyala – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa obor perjuangan tetap terus menyala dan meminta para penyokong dan pengundi menguatkan semangat serta tabah.

Katanya, sinar itu sentiasa ada jika perjuangan itu diiringi dengan kesabaran, keikhlasan dan berpegang teguh kepada amanah bangsa.

“Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama,” katanya.

Melalui hantaran di Facebooknya malam ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tahu bahawa beliau tidak bersendirian dalam perjuangan.

“Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini. Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau yang turut memuatkan sekeping gambar memeluk isterinya, Muhyiddin menyatakan sebagai insan biasa, beliau rasa sebak mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini.

“Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

“Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.

Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial,” katanya.

Justeru, beliau berharap mereka yang bersama perjuangannya terus berjuang dengan tekad menyelamatkan negara,  demi kedaulatan agama, bangsa dan negara.

“Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda,” katanya.

Related posts

Leave a Comment