GRS pula sertai Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA 25 Nov. – Kerajaan Perpaduan terus mendapat penyertaan parti politik apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan kesediaan untuk bersama-sama kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim itu.
Perdana Menteri ketika sidang media selepas memasuki pejabatnya pagi ini, berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor, bahawa GRS secara rasmi menyertai Kerajaan Perpaduan.
“Ada satu hal yang berkaitan mengenai kedudukan Kerajaan Perpaduan ini. Hajiji menghubungi saya semalam menyatakan bahawa GRS secara rasmi akan menyertai.
Ini bermakna kekuatan induk kita termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS, bermakna kita sudah ada ‘hour’ atau sudah mencapai dua pertiga Ahli Parlimen yang akan mengukuhkan kestabilan politik negara,” katanya.

GRS melibatkan parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku ( STAR) dan Pertubuhan Kebangsaan Bersatu (USNO).
Mengulas dua pertiga Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan itu, Anwar berkata keadaan itu membolehkan tumpuan diberikan kepada usaha mengangkat martabat negara, selain mengukuhkan ekonomi dengan hasrat membela nasib rakyat.
Ketika ini Kerajaan Perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), GPS, GRS, Warisan, Muda dan Ahli Parlimen bebas.

Related posts

Leave a Comment