Anwar angkat sumpah jawatan PM

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Selepas lima hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5.06 petang.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Presiden PKR itu mencipta rekod dengan menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri .

Sejurus mengangkat sumpah, Anwar menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Tambun memperoleh 49,625 undi dengan majoriti sebanyak 3,736 undi, menewaskan pencabar utama, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu.

Ahmad Faizal selaku penyandang kerusi memperoleh 45,889 undi sementara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md Hanafiah mendapat undian sebanyak 28,140 dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir sebanyak 1,115 undi.

Related posts

Leave a Comment