Biar kolah masjid kering, kita bermunajat secara berjemaah

SEDIH membaca berita empat mangsa ditemukan meninggal dunia dalam bilik mandi dipercayai menjadikan ruang itu sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan diri selepas rumah diduduki mereka di Kampung Delek Kanan, Klang terbakar awal pagi semalam. Seorang daripada mangsa, terendam dalam kolah air.

Begitulah ikhtiar manusia ketika menghadapi musibah, berusaha dan berdoa sebelum berserah kepada takdir.

Menyentuh tentang kolah, sudah lama kolah di masjid atau surau ‘dikeringkan’. Rasanya sudah hampir lapan bulan dibiarkan kering bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Sudah lama  ‘gayung’ tidak bersambut, tersimpan di dasar kolah yang kering, tidak terapung-apung atau berada sekeliling kolah.

Kita ikut sahaja arahan jika penggunaan air untuk berwuduk mengikut kaedah itu  boleh ‘memudaratkan’ . Demi kebaikan, patuhlah saranan orang yang lebih pakar.

Hakikatnya, jemaah tetap patuh berwuduk di rumah. Masih ada surau atau masjid, walaupun mempunyai tempat wuduk yang besar dan luas dihadkan bagi mengelakkan jemaah berpusu-pusu berwuduk . Tidak ada masalah bagi mereka yang datang berjemaah dari rumah, cuma sulit bagi musafir yang singgah solat.

Kita telah harungi pelbagai pengalaman bersolat di masjid dan surau sejak ‘era’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Paling memilukan ketika bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, kita dilarang ke masjid dan surau.

Banyak yang kita lalui dalam tempoh itu. Turun naik situasinya. Tidak sama situasi antara negeri. Mulanya masjid dan surau hanya mengehadkan tiga jemaah tanpa solat Jumaat, kemudian  enam, 40 jemaah sehinggalah mengikut kapasiti masjid dan surau. Kita lalui dan patuh supaya tidak lagi ‘dihukum’ seperti era PKP.

Jemaah patuh SOP, berwuduk di rumah, memakai pelitup muka, membawa sejadah, mengambil bacaan suhu, mengguna cecair pembasmi kuman, memasukkan kasut ke dalam plastik dan bawa masuk ke masjid (seperti di Masjidilharam dan Masjid Nabawi), dan tidak iktikaf lebih lama. Warga emas pula solat di rumah.

Saya telah menulis isu SOP masjid dan surau ini dalam tulisan yang lalu termasuk Sukarkah mematuhi SOP? (6 Julai), Jangan aniaya jemaah lain (24 Julai), Sejadah, kegagalan ikuti norma baharu Covid-19 ? (26 Ogos), Jemaah masjid, surau lebih patuh SOP (4 Oktober) dan Lebih baik had, bukan tutup (16 Oktober).

Benar ada  ‘seorang dua’ yang tidak peduli sebahagian SOP mungkin ego dan angkuh atau lebih takut kepada Tuhan bukan peraturan manusia. Tetapi majoriti patuh SOP. Ada juga ‘pemimpin’ sama ada dalam kalangan politik atau bukan politik kurang menunjukkan teladan yang baik kepada jemaah seperti tidak memakai pelitup muka, tidak menjaga jarak fizikal malahan ‘menyambut’ salam.

Ketidakseragaman kebenaran solat antara negeri turut menimbulkan keresahan dalam kalangan jemaah. Di sana boleh di sini tidak boleh.

Jemaah tidak menuntut itu ini bagi membolehkan mereka kembali ke masjid dan surau terutama bagi kawasan yang dikenakan PKPB. Ingatlah jemaah sentiasa membandingkan ‘kelonggaran’ ketika di masjid dan surau dengan ‘kelonggaran’ lokasi awam lain seperti restoran dan pasar raya atau pusat membeli-belah.

Mengehadkan jemaah kepada enam orang sudah pasti tidak sampai satu saf, bergantung kepada keluasan atau panjang saf berkenaan.

Diharapkan, sesuatu perubahan berlaku seperti yang sudah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini  berhubung kapasiti jemaah di masjid dan surau. Tingkatkanlah kapasiti.

Jemaah tegar akan patuh SOP. Pada masa yang sama jemaah pula biarlah jujur dan ikhlas dengan memastikan SOP dipatuhi. Jangan cemarkan imej masjid dan surau apabila kita masih ke masjid dan surau dalam keadaan tidak sihat, bergejala, memakai ‘gelang’ dan pelbagai lagi sehingga masjid dan surau dipersalahkan.

Biarlah SOP yang akan dilonggarkan akan memberi ruang dan peluang kepada kita untuk sama-sama beribadah, bermunajat, bertaubat, bersolat hajat, berselawat dan pelbagai lagi sebagai ikhtiar dan doa memohon perlindungan daripada wabak Covid-19 ini. Biar kolah kering tetapi bibir kita dibasahi zikir dan doa.

Sudah tiba masanya kita gemakan masjid dan surau dengan doa, zikir dan pelbagai lagi secara beramai-ramai bukan sekadar imam, bilal, siak dan beberapa orang ahli jawatankuasa lain. Kali ini jadikan doa sebagai ikhtiar dan ‘senjata’. Kita mohon kepada Allah SWT. Jadikan rutin, bukan setelah masjid dan surau ditutup, kita diminta berdoa di rumah, mungkin sendirian atau bersama keluarga.

Firman Allah SWT: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah al-Baqarah: 186).

Semoga jemaah kita dilindungi!

Related posts

Leave a Comment