BN tewas semua kerusi Parlimen Melaka

ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) Melaka buat julung kalinya tewas di semua enam kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk

tiga kerusi yang disandang sebelum ini iaitu Tangga Batu, Jasin dan Masjid Tanah.

Tiga kerusi berjaya ditawan Perikatan Nasional (PN) manakala tiga lagi kerusi di Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka berada dalam genggaman Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang membuat penampilan sulung di kerusi Parlimen Alor Gajah berjaya menumbangkan calon ‘heavyweight’ BN iaitu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dengan majoriti 890 undi.

PH turut mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim yang memperoleh majoriti 8,638 selepas menewaskan Ketua UMNO bahagian Hang Tuah Jaya Mohd Ridhwan Mohd Ali (BN) yang hanya memperoleh 30,780 undi.

Dua lagi calon lain di Parlimen itu ialah Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Pejuang yang juga peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh daripada Gerakan Tanah Air (GTA) dan ahli perniagaan, Mohd Azrudin Md Idris daripada PN.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (DAP) turut berjaya mempertahankan kerusi itu  yang disandangnya dengan majoriti selesa 46,420.

PN Melaka turut mengekalkan kerusi Masjid Tanah melalui Mas Ermieyati Samsudin  dengan majoriti 4,411 undi menewaskan calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid yang hanya meraih 21,193 undi.

Dua wakil Pas yang bertanding atas tiket PN berjaya menawan kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin menerusi Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkifli Ismail di Jasin dengan majoriti 322 dan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri Bakri Jamaluddin dengan majoriti selesa 8,849 undi di Tangga Batu.

Related posts

Leave a Comment