BN yakin bentuk kerajaan

BERA 19 Nov. – Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan baharu malam ini, kata Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata , walaupun mampu membentuk kerajaan sendiri, kerjasama akan diteruskan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

“Saya harap sebab sasaran kita boleh lepasi 112, kita boleh bentuk kerajaan. Kalau sudah dapat majoriti mudah kita akan bentuk kerajaan.

“Jika sudah boleh dapat 112 kerusi untuk bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kita akan bentuk kerajaan malam ini,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama isteri Muhaini Zainal Abidin tiba di SMK Bandar Kerayong pukul 9.20 pagi.

Ismail Sabri dan isteri selesai menunaikan tanggung jawab sejam kemudian selepas beratur selama satu jam bersama pengundi lain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sama ada kerajaan BN dapat dibentuk bersendirian atau perlu gabungan parti lain, selain GPS dan GRS hanya akan diputuskan kepemimpinan tertinggi parti.

“BN tidak akan meninggalkan parti GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment