Khidmat LRT Kelana Jaya lancar

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Pembukaan sepenuhnya perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang bermula pukul 6 pagi ini, berjalan lancar Isnin setelah 16 stesen digantung perkhidmatan selama lima hari pada minggu lepas.

Tinjauan di stesen-stesen utama di sekitar Kuala Lumpur ketika waktu puncak pagi menunjukkan pergerakan penumpang adalah lancar dan kesesakan penumpang di stesen-stesen telah berkurangan .

Menurut kenyataan Rapid Rail, sebagai langkah persediaan, sejumlah 92 bas perantara percuma diaktifkan untuk memberi pilihan alternatif serta kemudahan kepada orang awam.

Perlaksanaan pampasan kepada penumpang LRT Laluan Kelana Jaya seperti yang telah diumumkan juga bermula pada hari ini dan kakitangan stesen telah membantu memberi penerangan kepada penumpang.

Setakat pukul 4 petang, operasi perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya adalah stabil.

Bagaimanapun terdapat gangguan sementara kepada sistem bukan kritikal keselamatan yang berlaku pada pukul 12.43 tengah hari yang menjejaskan beberapa stesen di sekitar Stesen Damai, namun ianya dipulihkan dalam masa 15 minit.

“Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang-penumpang yang terjejas.

Kelancaran keseluruhan sistem LRT Laluan Kelana Jaya akan terus dipantau bagi memastikan operasi dan sistem kekal stabil serta selamat,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment