“Tidak perlu pecah undi, pilihlah saya”

SUNGAI BULOH Calon BN, Sungai Buloh Khairy Jamaluddin berjanji tidak akan meminggirkan penyokong parti lawan yang memberi undi kepadanya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Khairy berkata, penyokong parti lawan tidak perlu memecahkan undi, sebaliknya memberi sokongan kepadanya.

Justeru beliau meminta Pakatan Harapan (PH) yang masih dalam dilema, supaya terus memilihnya sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh, begitu juga dengan penyokong-penyokong Pas.

“Minta penyokong Pas kali ini bagi dekat saya, kalau kita pecah (undi) pasti tidak akan menang. Orang Pas sokong saya, saya akan jaga orang Pas di Sungai Buloh.

“Orang PH, saya tahu anda berada dalam dilema sama ada nak sokong PH atau bagi kepada KJ. Dia suka calon, tapi dia sayang parti dia, tapi kadang kala untuk penyokong PH, kena hantar isyarat kepada pemimpin anda, kena ada semak dan imbang di Sungai Buloh.

Kalau orang PH pilih saya di Sungai Buloh, saya jaga juga orang PH di sini, bagi kemenangan kepada saya pada 19 November nanti,” katanya dalam ceramah di Kampung Melayu Sungai Buloh di sini, malam ini.

Khairy berkata, sokongan kepadanya adalah pelaburan untuk masa depan negara, malah penduduk Sungai Buloh memerlukan pejuang sepertinya.

Katanya, sebagai anak jati Melayu, beliau akan menjaga semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India , Kadazan, Iban, Dusun, Orang Asli, dan semuanya.

“Saya tidak akan hampakan harapan, sokongan dan aspirasi, saya akan berjuang, Sungai Buloh perlukan seorang pejuang.

“Sudah sekian lama tidak ada pejuang yang berani datang ke kawasan yang sudah kalah tiga kali berturut-turut, kalau saya menang, saya akan jadi pejuang terbaik di Sungai Buloh, berjuang untuk anda sepenuh jiwa,” katanya.

Menurut Khairy, politik baharu tidak memerlukan pentas ceramah untuk memaki-hamun, fitnah, menyerang peribadi atau membuka aib antara satu sama lain.

“Kita kempen 14 hari sahaja , selepas itu hidup seperti biasa. Kalau dalam 14 hari ini kita maki hamun, lawan macam tak ada hari esok, lepas PRU kita nak buat apa?

“Kita ada banyak cabaran mendatang terutama tahun depan yang mana kita perlukan kestabilan,” katanya.

Khairy juga sekali lagi menegaskan Perdana Menteri pilihan BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Tidak ada orang lain, semua sudah setuju, jangan cakap ‘order’ lain, barang sampai lain. Ini bukan Perdana Menteri Shopee. Jangan Shopeekan Ismail Sabri, itu kekanda saya, mana tahu dia jadi Perdana Menteri, dia ada tempat yang kanan untuk saya dalam Kabinet akan datang.

“Jadi kita undi supaya dapat calon yang bagus dan kerajaan yang stabil, negara yang makmur dan Malaysia akan jadi sebuah negara yang hebat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment