GTA bentang Agenda Baharu Malaysia

PUTRAJAYA 10 Nov. – Gerakan Tanah Air (GTA) menawarkan manifesto Agenda Baharu Malaysia, berlainan daripada manifesto parti-parti politik lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi GTA, Dr Mahathir Mohamad menjelaskan gabungan tersebut tidak akan menjanjikan bulan dan bintang jika berjaya membentuk kerajaan.

Katanya, daripada pengalaman lepas, GTA mendapati terlalu banyak janji termasuk yang melangkaui keupayaan, menyebabkan ia hampir pasti tidak dipenuhi kerana membebankan kerajaan sehingga ada kepentingan awam terpaksa diketepikan.

GTA menawarkan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab; bebas rasuah; berpegang kepada prinsip Bersih, Cekap dan Amanah sebagai teras kepada semua lapisan pentadbiran; menebus kedudukan ekonomi Malaysia dan kembali menjadi Harimau Asia; dan berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.

“Kami percaya, jika kerajaan yang ditubuh berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi.

“Selain itu, rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Agenda Baharu Malaysia.

Mantan Perdana Menteri itu berkata,  rakyat sebagaimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya.

“Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan akan dipertahankan,” katanya yang juga menyifatkan, Agenda baharu Malaysia itu merupakan janji yang mampu dan pasti dipenuhi jika GTA diberi peluang membentuk kerajaan.

GTA terdiri daripada Pejuang, Putra, Berjasa, Iman dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta individu bertanding lebih 120 kerusi pada PRU15.

 

Tujuh tawaran digariskan dalam manifesto itu yang dikenali sebagai ‘7 Agenda Baharu Malaysia’ ialah:-

Pertama: Mewujudkan bangsa wibawa terdiri daripada pemimpin dan rakyat yang bersih daripada korupsi, politik wang, penyalahgunaan kuasa, diganti dengan kepimpinan bersih, cekap dan memiliki kredibiliti.

Kedua: Mewujudkan bangsa makmur dengan pekerjaan dan pendapatan yang menjamin kehidupan sejahtera. Ekosistem ekonomi dan industri perlu diperbaiki serta diperkasakan dengan segera.

Ketiga: Bangsa berdaulat diwujudkan dengan jaminan kesihatan, pendidikan, jaringan keselamatan, kebajikan, sekuriti berserta keselamatan, keterjaminanan dan kedaulatan dari pelbagai aspek untuk sektor makanan, iklim, tenaga, keselamatan serta geopolitik, dengan penekanan kepada golongan rentan ekonomi.

Keempat: Bangsa bertamadun diwujudkan dengan memfokus pendidikan bagi mencapai potensi pelajar yang sebenar, membangunkan manusia dengan nilai hidup dan patriotisme yang mana pendidikan, pembangunan kemahiran serta kepimpinan dilaksana bagi membangunkan generasi lebih menyeluruh dan bukan semata-mata menjadi buruh industri.

Kelima: Mewujudkan negara moden – bererti pemodenan pelbagai sektor negara bagi menyesuaikan dengan kehendak ekonomi baharu dan kesejahteraan masyarakat.

Keenam: Mewujudkan negara sejahtera bagi memastikan jaringan sosial dan keselamatan rakyat dapat diperkukuhkan, terutama kepada kumpulan miskin dan rentan, terpencil, kelainan upaya serta keluarga tunggal.

Ketujuh: Mewujudkan negara lestari yang memastikan masa depan lebih baik, dengan memastikan dasar kelestarian dalam pengurusan alam sekitar yang baik, konservasi biodiversiti dan adaptasi perubahan iklim menjadi fundamental penting dalam kerajaan GTA.

Related posts

Leave a Comment