Ismail Sabri kekal calon PM BN

MELAKA 10 Nov. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak menimbulkan spekulasi mahupun melaga-lagakan barisan kepemimpinan berhubung kedudukan calon Perdana Menteri.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, ini kerana parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya parti itu berjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU15), 19 November ini.

“Jangan timbulkan spekulasi, jangan (buat) ramalan atau jangan cucuk-mencucuk di kalangan kami. We have no problem at all (Kami langsung tiada masalah).

Dan tentunya apabila parti UMNO membuat keputusan, BN (juga) buat keputusan, kita akan terus komited menentukan bahawa Perdana Menteri kita adalah Perdana Menteri yang sedang menjalankan tugas dengan baik di Putrajaya sekarang ini,” katanya.

Beliau yang juga  calon BN Bagan Datuk berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, Sungai Udang di sini pada petang Khamis.

Ahmad Zahid turut mengingatkan pengundi untuk tidak lagi membuat kesilapan seperti apa yang berlaku pada PRU14 lalu.

“Rugilah jika mereka tidak pernah menyesal memilih Pakatan Harapan (PH), rugilah jika kali ini ada yang memilih Perikatan Nasional (PN) kerana rekod pencapaian kita selama 60 tahun memerintah didapati bahawa kemajuan negara adalah atas sokongan kita.

“Saya amat menghargai apabila kita teruji dengan ketidakcukupan kerusi dalam PRU14 lalu, maka rakyat telah menderita, rakyat sengsara apatah lagi apabila negara ini ditadbir oleh kerajaan gagal selama 17 bulan,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, calon PN di Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa kononnya Ismail Sabri yang disebut-sebut sebagai ‘poster boy’ BN tidak akan direalisasikan.

Related posts

Leave a Comment