BN tidak campur urusan mahkamah

SEREMBAN 9 Nov. – Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali mencampuri urusan mahkamah jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, kata Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan BN akan membebaskan bekas Perdana Menteri Najib Razak daripada penjara, selain menutup salah laku membabitkan pemimpin UMNO.

Beliau merujuk beberapa kes pemimpin UMNO yang dipenjarakan semasa BN memerintah dulu seperti Harun Idris, Mokhtar Hashim, dan Khir Toyo.

Mohamad mempersoalkan siapa sebenarnya menyalahgunakan proses undang-undang kerana dakwanya apabila Pakatan Harapan (PH) menang,  banyak kes membabitkan pemimpin mereka digugurkan atau ditarik balik pertuduhan.

“Di zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang, Datuk (Seri) Najib masuk penjara dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi BN), kesnya masih berjalan dan tidak ditarik balik,” katanya.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Rembau itu, ditemui pemberita selepas menemui peniaga dalam kempen PRU15 di Pasar Malam Taman Tuanku Jaafar, Senawang, dekat sini, lewat petang semalam.

Dalam keadaan hujan lebat, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, tetap meneruskan kempen dan menyantuni peniaga serta orang ramai di pasar malam terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berharap orang ramai tidak terkeliru dan mudah percaya dengan dakyah serta propaganda pemimpin berkenaan yang cuba mengelirukan pemikiran rakyat khususnya orang Melayu.

“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan tindakan pemimpin pembangkang yang sengaja buat dakyah, sebaliknya berfikir secara matang,” katanya.

Beliau mengingatkan selepas pemimpin pembangkang gagal menunaikan segala janji yang dibuat selepas menang PRU14 dulu, kini mereka mencari modal menyerang dan mencari isu-isu peribadi pemimpin UMNO tertentu.

“Orang UMNO dan jentera parti diharap tidak terpedaya dan kepada pengundi, saya yakin mereka dapat membuat penilaian sewajarnya. Jangan kata bila menang UMNO akan lepaskan orang itu (penjara), kita tidak akan buat begitu,” katanya.

Mohamad berkata, pihaknya menjalankan kempen secara berhemah dengan tidak menyerang atau menyentuh mana-mana pihak atau individu tertentu.

Beliau sudah meminta anak buah supaya tidak memburukkan sesiapa,sebaliknya kempen secara sihat, dengan menyantuni seramai mungkin pengundi.

“Saya hanya cakap bahawa pengundi perlu beri peluang kepada BN untuk kita menubuhkan kerajaan yang mantap dan stabil selepas PRU15 ini. Cukup-cukuplah kerosakan kepada negara yang telah berlaku selama empat tahun lebih ini, kita tidak mampu lagi berada dalam keadaan sebegini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment