PN kemuka 234 tawaran PN BEST

SHAH ALAM 7 Nov. – Perikatan Nasional (PN) mengemukakan 234 tawaran berteraskan 12 tunjang melalui 30 pendekatan bagi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tawaran itu termasuk pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengagihan bayaran tunai hasil petroleum secara terus kepada semua kerajaan negeri berkaitan.

PN juga bersedia mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, biarpun perkara itu tidak tertakluk dalam tawaran PN BEST, bertemakan ‘Prihatin, Bersih, Stabil’ dengan halatuju Malaysia Gemilang.

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, berkata gabungan itu juga akan memberi tumpuan segera kepada usaha memulihkan ekonomi secara menyeluruh dan mampan.

Beliau juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia Tenggara, berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan bernilai RM5 bilion.

Selain itu, katanya, program penjadualan, penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar akan diteruskan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas, sepanjang proses pemulihan ekonomi negara.

Sebanyak enam Hub Mega Pengeluaran Makanan Negara akan diwujudkan di kawasan strategik dengan pelan penggunaan tanah komprehensif bagi tujuan pengeluaran, ketersediaan dan pengedaran makanan ke arah mencapai tahap sara diri negara demi merancakkan sektor pertanian dan industri makanan.

Berucap ketika melancarkan manifesto PN malam tadi, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi dana ‘Fund for Food’  bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan menstabilkan harga makanan.

“Kita juga akan pastikan rakyat mendapat peluang pekerjaan, terutamanya di sektor berpendapatan tinggi. PN menawarkan pewujudan satu juta pekerjaan dalam bidang berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN mengetengahkan tawaran pengurangan 25 peratus bayaran balik pinjaman PTPTN kepada graduan kelas kedua atas.

PN juga menawarkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala bagi meringankan beban kos sara hidup kakitangan awam yang berpendapatan rendah.

Beliau turut menawarkan usaha memantapkan sistem pendidikan yang inklusif, berdaya saing dan bertaraf global, termasuk menyediakan peruntukan khas penyelenggaraan sekolah sekurang-kurangnya bernilai RM2.5 bilion setahun, bagi tempoh 2023-2025.

“PN juga akan memperkasa kualiti perkhidmatan kesihatan cekap dan mesra rakyat melalui kerangka dan sistem pengurusan kesihatan negara yang holistik, terutama dengan mengambil kira keperluan kesihatan warga emas sebagai persediaan ke arah negara menua.

“Selain itu, Kad Prihatin Nasional akan diperkenalkan untuk memberi akses perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan,” katanya.

PN juga berikrar semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat awam, akan dikekalkan dan ditambah baik untuk semua lapisan masyarakat.

PN juga akan menyediakan perkhidmatan bas dan pusat penjagaan percuma bagi kumpulan miskin dan miskin tegar, serta skim khas bagi pekerja gig, nelayan dan pekebun kecil.

Tadbir urus yang kukuh termasuk dengan melarang sumbangan dana politik dari luar negara, memperkasa pelan antirasuah nasional dan sistem perundangan dan kehakiman syariah serta menubuhkan badan bertindak bencana alam dan perubahan iklim.

PN juga berikrar untuk menyediakan pendidikan yang inklusif termasuk akses internet laju dalam bilik darjah dan bilik guru, dana khas bagi sekolah tahfiz dan agama rakyat serta RM2.5 bilion peruntukan penyelenggaraan sekolah.

Di samping itu, PN juga mahu memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum termasuk melalui pemerkasaan agenda pembangunan Bumiputera.

Tawaran juga termasuk merapatkan jurang pembangunan Sabah dan Sarawak termasuk menyegerakan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 serta penubuhan universiti awam baharu di Sabah dan Sarawak.

Belia juga akan dilantik sebagai senator dan penyediaan skim perumahan mikro belia mampu sewa.

PN juga akan melindungi kumpulan rentan termasuk menubuhkan Jabatan Warga Emas, dan Wanita-wanita Bangkit Berniaga dan program latihan OKU lepasan sekolah.

Generasi FELDA akan diperhebat termasuk menawarkan Wawasan FELDA Baharu bagi menjamin masa hadapan generasi muda di kawasan tanah rancangan itu.

Related posts

Leave a Comment