PADU bukan janji-janji manis, indah

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Barisan Nasional (BN) mengumumkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta (PADU) sebagai tawaran untuk rakyat bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PADU yang mengandungi 99 Amal dan Usaha adalah tawaran baharu yang segar daripada BN kepada rakyat Malaysia.

Katanya, PADU akan menjadi panduan BN dalam mengemudi tanah air menjadi negara berkemajuan.

“PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi,” katanya ketika membentangkan Manifesto BN secara maya malam ini.

Beliau berkata, PADU ialah pelan yang serius dan rasional, mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua.

Katanya, lima idea besar yang mendasari tawaran utama di bawah PADU, iaitu penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

Kedua, PADU mengenai tekad dan nekad BN untuk melakukan beberapa pembaharuan yang radikal dan bersifat struktural dalam negara kita serta ketiga, keterangkuman dan pengiktirafan kerencaman.

Keempat, PADU satu penggandaan usaha untuk kita meletakkan asas-asas penting untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua.

Seterusnya yang kelima, beliau berkata, kejayaan 99 perkara dalam PADU ini bergantung kepada bagaimana BN mengamal dan mengusahakan dengan berstrategi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN mahu mewujudkan sebuah kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat serta menguruskan Malaysia supaya menjadi sejahtera dan makmur.

“Kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan. Kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, PADU ialah pelan yang serius dan rasional, mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya, demi kemaslahatan semua.

Related posts

Leave a Comment