KKM pantau peningkatan kes

SUNGAI BULOH 6 Nov. – Keadaan masih terkawal walaupun kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan, dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau peningkatan kes sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kemasukan hospital akibat jangkitan tidak tinggi dan kadar kematian juga rendah.

“Macam Omicron walaupun kes naik tapi kemasukan hospital dan kadar kematian rendah, jadi kita anggap ini adalah gelombang jangkitan tapi dari segi keterukan, tidak berapa teruk,” katanya ketika ditanya mengenai peningkatan kes Covid-19 menjelang PRU15.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kempen Calon Sungai Buloh Sarapan di sebuah restoran di Kota Damansara di sini hari ini.

Khairy berkata KKM pada masa sama telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) PRU15 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, jabatan kesihatan di setiap negeri turut diarahkan untuk menyediakan pegawai kesihatan tambahan bagi membantu pesakit Covid-19 keluar mengundi di pusat pengundian masing-masing.

“Cuma kita tidak mahu mereka (pesakit Covid-19) berada di tempat pusat mengundi terlalu lama, pesakit daftar, tunjuk pegawai kesihatan yang ditempatkan di pusat mengundi digital MySejahtera, tidak perlu beratur, mengundi dan terus keluar,” katanya.

Oktober lepas, Khairy memaklumkan kementeriannya akan melaksanakan SOP Covid-19 Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif Covid-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15.

Related posts

Leave a Comment