Vaksin baharu Covid-19 tiba November

PUTRAJAYA 31 Okt. – Vaksin baharu Covid-19 keluaran Pfizer, Bivalent, dijangka tiba di Malaysia pada minggu kedua atau ketiga November ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, pembelian vaksin itu bukan menggunakan perolehan tambahan, sebaliknya tempahan sedia ada yang ditukar kepada vaksin jenis baharu itu.

Vaksin berkenaan dilaporkan khusus untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi dan mempunyai penyakit kronik serta warga emas.

“Malaysia sudah tempah vaksin Bivalent, jenis baharu daripada Pfizer dan ia dijangka sampai pada November ini,” katanya pada sidang media perkembangan jangkitan Covid-19, di sini, hari ini.

Khairy berkata, pakar juga berpandangan vaksin sedia ada turut berkesan menangani penularan Omicron dan XBB.

Justeru mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan tidak menunggu sehingga perolehan baharu itu tiba, sebaliknya mengambil dos penggalak sedia ada untuk melindungi diri iaitu empat hingga enam bulan selepas disuntik dos penggalak pertama.

Sementara itu, Khairy berkata, mana-mana rakyat Malaysia yang berhasrat ke luar negara terutama untuk percutian musim sejuk, disyorkan mendapatkan dos penggalak kedua, seperti digalakkan di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) ketika ini.

“Saya sarankan orang ramai yang sedang membuat perancangan menyambut Krismas di London, supaya mengambil dos penggalak kedua. Mungkin minggu kedua atau ketiga November ini, vaksin Bivalent juga akan sampai,” katanya.

Khairy berkata, pemberian vaksin Covid-19 juga disyorkan untuk kanak-kanak bawah lima tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

Beliau berkata, ketika ini, pakar masih mengkaji data dari negara lain membabitkan pemberian vaksin untuk kanak-kanak bawah usia lima tahun yang sihat dan tiada masalah kesihatan.

Related posts

Leave a Comment