UMNO tanding Simpang Renggam

JOHOR BAHRU 29 Okt. – MCA dan MIC Johor masing-masing akan bertanding lapan dan satu kerusi Parlimen di negeri ini, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, jumlah sama yang ditandingi kedua-duanya pada PRU14.

Pengerusi BN Johor,  Hasni Mohammad, berkata kerusi Parlimen Simpang Renggam yang ditinggalkan parti Gerakan akan ditandingi UMNO, menjadikan jumlah kerusi yang bakal ditandingi UMNO Johor pada PRU15 ialah 17 berbanding 16 pada PRU lepas.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Johor, berkata BN negeri tidak akan melakukan sebarang pertukaran kerusi Parlimen antara parti komponennya.

“Pembahagian kerusi tidak berbangkit di Johor, maknanya MCA, MIC kekal dengan jumlah kerusi (seperti) dalam PRU14 (iaitu) lapan (kerusi) MCA dan satu (kerusi) MIC,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Bengkel Penerangan Puteri UMNO Johor di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini hari ini.

Pada PRU14, calon Gerakan, Liang Teck Meng tewas kepada Maszlee yang ketika itu bertanding atas tiket Bersatu dengan majoriti 3,475. Maszlee kemudian menyertai PKR pada November tahun lalu.

Pada Jun 2018, Gerakan mengumumkan keluar BN sebelum menyertai Perikatan Nasional (PN) pada Februari 2021.

Pada PRU13, parti berkenaan menerusi calonnya, Liang Teck Meng menang 17,754 undi, menewaskan calon Pas ketika itu, Suhaizan Kayat.

Related posts

Leave a Comment