Amanah pecat Pengerusi Kedah

ALOR SETAR 30 Okt. – Parti Amanah hari ini memecat keahlian Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkuatkuasa serta merta kerana didapati melanggar perlembagaan parti.

Setiausaha Agungnya, Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata Phahrolrazi mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Beliau berkata, pemecatan dibuat berasaskan peruntukan kuasa di bawah Fasal 6.2(b), Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti Amanah Negara yang bermesyuarat pada hari ini.

“Phahrolrazi didapati melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan-keputusan parti dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

“Sehubungan itu, Datuk Dr Ismail Salleh, Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Kedah, akan menjalankan tugas-tugas Pengerusi Amanah Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua keputusan itu berkuat kuasa serta-merta.

Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, dijangka mengadakan sidang media pada petang ini di Pejabat Amanah Jerai di Guar Chempedak.

Sidang media itu berkaitan kerusi Parlimen Jerai yang diserahkan kepada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, sebagai calon di kerusi itu, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di negeri ini.

Phahrolrazi tidak hadir di majlis berkenaan, yang diadakan di Sungai Petani yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Related posts

Leave a Comment