DUN Kedah dijangka bubar Julai 2023

ALOR SETAR 29 Okt. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hanya akan dibubarkan sekitar bulan Julai tahun hadapan, kata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau memberikan bayangan itu selepas mengambil kira beberapa faktor seperti bencana banjir, sambutan Hari Raya Aidilfitri, sambutan Hari Raya Aidiladha serta tempoh mengerjakan haji.

Bagi tujuan itu, beliau juga telah menghubungi beberapa menteri besar di negeri-negeri yang tidak membubarkan DUN masing-masing, termasuk Selangor, agar pilihan raya di negeri terlibat dapat diadakan serentak.

“Kita tidak setuju Parlimen dibubarkan pada ketika ini, maka negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, tinggallah aku jadi Menteri Besar lagi, hampa (kamu semua) jangan jealous (cemburu).

“Insya-Allah tuan-tuan, kita akan hadapi pilihan raya negeri (PRN) yang belum bubar tahun depan.

“Selepas bulan Mac, banjir sudah tidak ada, tetapi selepas itu puasa dan raya. Selepas itu orang hendak pergi Mekah dan sembelih lembu. Lepas sembelih lembu, baru kita bubar. Saya maklum siap-siap. Jadi, lambat lagi (DUN Kedah akan dibubarkan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Jentera Perikatan Nasional Peringkat Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, malam tadi.

Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa, desakan daripada Barisan Nasional dan UMNO untuk Parlimen dibubarkan segera adalah semata-mata bertujuan menyelamatkan pemimpin-pemimpin tertentu daripada kes mahkamah yang dihadapi.

Jelasnya, keputusan itu terpaksa dibuat meskipun banyak pihak tidak bersetuju memandangkan ia mungkin menyebabkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) diadakan ketika musim banjir.

Related posts

Leave a Comment