Dr Wan Azizah turun lawat ‘kawasan baharu’

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Pengerusi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Wan Azizah yang disebut-sebut berpindah ke Parlimen Bandar Tun Razak turun menyantuni  orang ramai di Medan Selera Desa Tun Razak, di sini hari ini.

Baru-baru ini, PKR dilapor bakal menamakan Dr Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR sebagai calon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Difahamkan, Dr Wan Azizah akan meninggalkan Parlimen Pandan pada PRU15 bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli untuk kembali bertanding di kerusi tersebut.

Ditanya berkenaan pencalonannya di kerusi tersebut pada pilihan raya kali ini, beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Itu kena official (rasmi) daripada pucuk pimpinan,” katanya ringkas.

Anwar pada Rabu dilaporkan berkata, calon rasmi PRU15 yang bakal bertanding mewakili parti itu akan diumumkan pada Jumaat.

Dr Wan Azizah yakin partinya berpotensi tinggi untuk kembali menguasai kerusi di Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 menerusi Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, PKR bertindak memecat Abdul Khalid pada 2014 selepas beliau enggan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar dalam krisis politik yang dikenali sebagai Langkah Kajang.

Pada 2018, PKR mencalonkan Kamaruddin Jaffar yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000 dalam persaingan tiga penjuru membabitkan calon daripada BN dan Pas.

Kamarudin kemudian bertindak meninggalkan PKR bersama kumpulan yang diketuai Mohamed Azmin Ali.

Related posts

Leave a Comment