Bubar: Siapa sebenarnya tamak kuasa

KUALA LUMPUR 11 Okt. –  Barisan Nasional (BN) tidak akan membenarkan negeri yang ditadbirnya – Perak, Perlis dan Pahang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing jika benar dakwaan bahawa BN tamak kuasa.

Pengerusi BN,  Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, politik tamak kuasa sesuai untuk pihak yang enggan membubarkan DUN yang dikuasai mereka agar terus kekal mempertahankan kuasa.

Katanya, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan ‘upacara’ menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada BN tanpa ada pertandingan, sebaliknya sebuah proses undian rakyat yang menentukan.

“Justeru, dimanakah yang dikatakan BN tamak kuasa sedangkan yang berlaku pada PRU-15 adalah rakyat diberi mandat dan kuasa sepenuhnya untuk menentukan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden UMNO itu mengulas dakwaan pembangkang bahawa BN tamak kuasa berikutan pengumuman pembubaran Dewan Rakyat semalam bagi membolehkan PRU-15 yang jika diikut tempoh berakhir Julai depan.

Berikutan itu, negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Pas juga  dijangka mengambil pendirian sama di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Menurut Ahmad Zahid, musuh BN kini sedang melakukan propaganda BN tamak kuasa yang bertujuan mencipta persepsi jahat terhadap BN.

Hakikatnya ‘dalil’ baharu itu, terpesong jauh daripada kebenaran mengenai tujuan sesebuah pilihan raya iaitu menyerahkan kembali hak dan mandat kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan baharu.

“Pilihan raya umum, kecil mahupun negeri adalah sebuah proses demokrasi melalui peti undi yang boleh disertai mana-mana parti politik atau individu yang layak, “ katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, keengganan menyerahkan kembali hak dan mandat rakyat untuk memilih kerajaan baharu menyebabkan pembaziran untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan gara-gara khuatir kehilangan kuasa.

“Rakyat perlu menolak gabungan tamak kuasa terbabit yang jelas tidak peduli masa depan rakyat dan negara kecuali kepentingan politik mereka.

“Alasan risiko ‘banjir besar’ juga sudah tidak lagi relevan sekiranya SPR menetapkan PRU-15 berlangsung sebelum pertengahan November depan,” katanya.

Selain negeri-negeri di bawah pentadbiran PH dan Pas, negeri-negeri Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka telah mengadakan PRN masing-masing.

Related posts

Leave a Comment