Digugur DAP, Wong Tack tanding Bebas

KUANTAN 26 Okt. – Beberapa jam selepas namanya tidak disenaraikan DAP, penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada satu sidang media secara dalam talian, Wong Tack berkata, keputusan bertanding secara Bebas dibuat atas tuntutan tanggungjawab terhadap rakyat selepas beliau tidak termasuk dalam ‘strategi besar’ DAP bagi PRU kali ini.

“Saya ingin mengumumkan saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong atas tiket rakyat. Seperti diumumkan DAP, nama saya tidak diisi sebagai calon di Parlimen ini untuk PRU15,” katanya.

Menurut Wong Tack , sebagai anak jati Bentong, beliau bertekad untuk mempertahankan kerusi disandangnya sejak PRU14.

“Sejak empat tahun lalu saya telah menjalankan tugas saya sebaiknya untuk rakyat di Bentong.

“Bentong adalah kampung saya dan saya komited untuk terus berkhidmat untuk rakyat di sini. Kita di sini ingin mewujudkan platform untuk kuasa rakyat, menanam benih harapan bukan hanya untuk Bentong tetapi negara,” katanya .

Beliau juga mengimbau kembali persefahaman DAP melalui Setiausaha Agung terdahulu Lim Guan Eng bahawa beliau sebagai Pengerusi Himpunan Hijau akan bertanding sebagai calon Parlimen Bentong di bawah tiket DAP.

“Hari ini DAP telah memutuskan untuk menamatkan persefahaman ini dan dengan itu saya mengumumkan bahawa akan bertanding dalam PRU15 bagi Parlimen Bentong berpaksikan tiket rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pilihan di tangan rakyat dan rakyat mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka.

“Kami juga tidak berminat untuk permainan politik terutama untuk parti politik. Rakyat bukan buah catur,” tegasnya..

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media memaklumkan, parti itu telah berbincang bersama Wong Tack sebelum membuat keputusan tersebut.

Bagaimanapun jelas Anthony, selepas hampir tiga jam berbincang, Wong Tack enggan menerima cadangan agar beliau ditempatkan sebagai calon di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Malahan Wang Tack meminta tempoh sejam selepas itu untuk membuat keputusan tetapi akhirnya tetap dengan pendirian menolak cadangan ke Cameron Highlands.

Wong Tack dikeluarkan dari Bentong bagi memberi laluan kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman atau Rara

“Kita nak Rara sebagai Ahli Parlimen wanita Melayu pertama DAP. Saya menaruh kepercayaan dan keyakinan penuh kepada beliau kerana beliau telah berkhidmat di kawasan tersebut sebagai ADUN dan mempunyai trek rekod yang baik,” katanya.

Pada PRU14, Wong Tack merampas kerusi Parlimen Bentong daripada Barisan Nasional (BN) selepas menewaskan Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan majoriti 2,032 undi.

Related posts

Leave a Comment