Tidak perlu debat menjelang pilihan raya

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Tidak perlu berdebat menjelang pilihan raya kerana ia tidak mendatangkan apa-apa hasil dan bukan satu budaya kita, kata Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob.

“Bukan budaya kita debat ini, tidak pernah dibuat dan dan tidak mendatangkan hasil,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Khas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim supaya diadakan debat terbuka tiga calon Perdana Menteri dari PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sempena PRU15.

Anwar dalam Program Jelajah PH Pahang di Mentakab mencadangkan perkara itu supaya perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

Ismail Sabri berkata, jika debat terbuka dilaksanakan, ia mungkin dijadikan tempat untuk calon menabur janji dan manifesto.

“Bulan dan bintang pun dia akan sebut jadi tidak perlu dan selama ini kita bentuk kerajaan berdasarkan kepercayaan rakyat bukan satu jam debat itu.

“Saya tidak perlu berdebat sebelum pilihan raya dan kita sibuk di kawasan masing-masing,” katanya.

Related posts

Leave a Comment