2,010 PPS bertindih pusat mengundi

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kerajaan mengenal pasti 2,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat mengundi yang bertindih di seluruh negara, kata Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob.

Berikutan itu, beliau berkata, pengasingan akan dilakukan sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri berkata, ada sebanyak 6,010 PPS di seluruh negara di mana ada yang bertindih dengan pusat pengundian, iaitu akan digunakan sebagai PPS dan pusat mengundi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri memberi contoh, jika sekolah ada tiga blok, boleh diasingkan tempat mengundi dengan PPS.

Biasanya sekolah akan ada tiga blok, iaitu dua blok dijadikan PPS, manakala satu lagi sebagai tempat mengundi. Lagipun banjir bukan berlaku di seluruh negara dan mungkin juga banjir tidak berlaku.

“Malah bukan bermakna lokasi di mana 2,010 pusat yang bertindih itu akan berlaku banjir, tetapi kita buat persediaan bergantung kepada keadaan.

“Jika ada tempat lain yang kita boleh pindahkan mangsa banjir, itu akan dilakukan. Misalnya, ke balai raya, dewan orang ramai, surau dan masjid,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Khas PRU15 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kuasa juga sudah diturunkan kepada pegawai daerah untuk mengenal pasti kawasan untuk dipindahkan mangsa banjir.

Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 21,018 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas ketika musim banjir bersama 18,511 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Yang akan turut bertugas, katanya, seramai 14,829 anggota bomba, 10,510 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 4,367 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Semua agensi sudah bersedia dan jika jumlah itu tidak mencukupi, akan ditambah lagi. Bagaimanapun, setakat ini ia mencukupi kecuali jika berlaku banjir luar biasa serentak di seluruh negara, maka kita akan tambah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment