Parlimen bubar Deepavali tetap meriah

SHAH ALAM 24 Okt. – Sambutan perayaan Deepavali yang diraikan penganut Hindu hari ini, tetap meriah walaupun Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditetapkan pada 19 November ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini ada kata-kata kononnya pihaknya tidak menghormati sensitiviti dan perasaan masyarakat Hindu kerana membubarkan Parlimen dalam tempoh hampir dengan sambutan Deepavali.

“Saya lihat walaupun dalam keadaan musim menghadapi pilihan raya, tetapi ia tidak menjejaskan sambutan hari Deepavali.

“Pembubaran Parlimen langsung tidak menjejaskan sambutan, malah lebih meriah. Jadi saya mengucapkan Deepavali Valthukkal,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Presiden MIC, S A Vigneswaran, di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berpendapat PRU15 tidak sesuai diadakan bulan ini kerana perayaan Deepavali dan menyatakan tarikh PRU15 perlu mengambil kira sensitiviti perayaan kaum di negara ini.

Ismail Sabri berkata, beliau melihat sambutan perayaan itu tahun ini amat meriah dan melambangkan semangat kekeluargaan Keluarga Malaysia seperti yang sentiasa diidamkannya.

“Inilah sebenarnya keharmonian yang kita perlukan bagi kita meneruskan pembangunan negara,” kata beliau.

Perdana Menteri yang tiba pada pukul 11.15 pagi, meluangkan masa lebih satu jam pada majlis berkenaan yang diadakan di kediaman Vigneswaran di Kota Kemuning, di sini.

Yang turut hadir, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hassan.

Related posts

Leave a Comment