Tarik balik sokongan pada PN

KOTA BHARU 09 Jan. – Ahli Parlimen Machang daripada Barisan Nasional (BN), Ahmad Jazlan Yaakob, mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata surat makluman tindakan itu akan dihantar kepada Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan segera.

“Sebanyak 12 daripada 14 bahagian (UMNO) meminta saya mempertimbangkan agar menarik balik sokongan kepada kerajaan PN yang ditunjangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu ) kerana Perdana Menteri daripada parti itu.

“Pada hemat kami, kerajaan yang ada hari ini tidak berupaya mengurus tadbir negara dengan baik dan tak berjaya laksanakan amanah yang diberikan dengan seadilnya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Kelantan.

Ahmad Jazlan mendakwa, antara kegagalan kerajaan PN mentadbir adalah berkenaan moratorium dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat tidak mencapai matlamat sebenar, termasuk kegagalan mengurus isu pandemik Covid-19.

Beliau mengakui, keputusan yang dibuatnya akan menimbulkan pelbagai reaksi, tetapi mendakwa ia sekadar mempertahankan prinsipnya dan maruah UMNO yang didokong bukannya ada kepentingan peribadi.

“Saya bukan orang pertama tidak menyokong kerajaan hari ini tapi kedua di Kelantan dan Malaysia, selepas Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang).

“Saya Ahli Parlimen BN dan masih menganggotai UMNO, tak payah bising-bising, Ku Li sudah membuat keputusan awal, bukan saya orang pertama,” katanya.

Ditanya sama ada, akan ada Ahli Parlimen lain bakal mengikut tindakannya itu, beliau mendakwa tidak tahu, selain keputusan penarikan sokongan itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Awal bulan ini, Ahmad Jazlan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen, berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan dan Gerik.

PN ditunjangi 110 Ahli Parlimen dan masih dianggap berdiri disebabkan faktor perpecahan dalam blok pembangkang.

Blok utama pembangkang diketuai Pakatan Harapan (PH), hanya mempunyai 91 Ahli Parlimen, manakala 17 orang terdiri daripada Bebas dan Warisan, tidak menyertai blok terbabit.

Related posts

Leave a Comment