Pertandingan menembak media bersama SPRM

8CHERAS 22 Okt. – Lebih 50 pengamal media tempatan bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai pertandingan menembak di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, hari ini.

Acara itu bertujuan mengukuhkan silaturahim antara SPRM dengan pihak media, selepas penganjurannya tertangguh beberapa tahun berikutan pandemik Covid-19.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, SPRM, Kamaruddin M Ripin, berkata, SPRM menghargai kerjasama setiap petugas media dalam membantu agensi penguatkuasaan itu mencegah dan membanteras kegiatan rasuah.

Katanya, usaha pengamal media tempatan dalam mendidik dan menyebar luas mesej serta pendedahan antirasuah melalui laporan berita kepada masyarakat, terus dihargai.

Turut hadir pada acara itu, Ketua Komander  Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, SAC Zulkifli Jonit, Pengarang BebasNews Hassan Mohd Noor serta Pengarang Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Kamaruddin Mape.

Menurut beliau, SPRM komited bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk pihak media dalam aktiviti pencegahan rasuah.

Sehubungan itu, SPRM mengatur pelbagai program bagi memastikan kesedaran mengenai amalan salah laku rasuah, disebarkan dalam masyarakat.

Beliau berkata, pelbagai program akan diatur SPRM bersama pengamal media tempatan untuk memastikan aspirasi pencegahan rasuah dicapai hingga meliputi keseluruhan masyarakat.

“Sebelum ini, kita juga mengadakan Majlis Anugerah Media SPRM yang menobatkan karya-karya penulisan terbaik yang dilihat berjaya membantu SPRM dalam memerangi rasuah,” katanya.

Sementara itu, wakil BebasNews,  Hassan bersama pasukannya memenangi tempat ke empat kategori berkumpulan dan Pengarang Digital dan Media Sosial, Muhamad Amirul Afiq Mastor memenangi tempat kedua kategori individu.

Related posts

Leave a Comment