84 pelajar Cyberjaya, Sandakan positif

PUTRAJAYA 2 Dis. – Seramai 60 pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya dan 24 pelajar Politeknik Sandakan, Sabah dijangkiti Covid-19 semalam.

Menteri Kanan Pendidikan,  Radzi Jidin, berkata pelajar yang positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Beliau yang melakukan tinjauan ke sekolah berkenaan malam ini berkata, baki pelajar masih ditempatkan di asrama menunggu ujian saringan Covid-19 dilakukan untuk mereka.

Terdahulu tular mengenai jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah itu hingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa.

Ibu bapa pelajar mendesak ujian saringan ke atas anak mereka dijalankan segera supaya pelajar dengan keputusan ujian negatif boleh pulang ke rumah.

Radzi berkata, mereka yang menjadi kontak rapat juga dikuarantin.

Sementara itu di KOTA KINABALU, kes jangkitan pelajar Politeknik Sandakan mencetuskan Kluster Sungai Batang.

Jurucakap perkembangan harian Covid -19 Sabah, Masidi Manjun berkata, kluster itu tercetus selepas seorang pelajar lelaki 19 tahun, bergejala demam dan batuk sejak 12 November lalu disahkan positif Covid-19.

“Saringan kontak rapat terhadap 29 pelajar serta dua orang kakitangan seterusnya mendapati 24 kes positif termasuk 11 kes baharu dalam kalangan pelajar asrama institusi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Related posts

Leave a Comment