RM1.01 bilion kos PRU-15, PRK Bugaya

PUTRAJAYA 20 Okt. –  Sebanyak RM1.01 bilion peruntukan diperlukan untuk mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata, pilihan raya kali ini melibatkan 9,536 pusat mengundi dengan 39,318 tempat mengundi/saluran.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU Ke-15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemaskini sehingga 9 Oktober 2022.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya berkenaan di sini hari ini, beliau memaklumkan bagi

PRU Ke-15 ini, sebanyak 21,173,638 layak mengundi.

Pengundi terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Katanya, DPPR bagi PRU Ke-15 dijadualkan akan mula dijual mulai Isnin ini,  31 Oktober 2022 manakala semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober 2022.

Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi, SPR akan melaksanakan kempen `Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian.

SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mana-mana badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRU Ke-15 bermula pada hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat-pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantikan yang ditetapkan oleh SPR,” katanya.

Permohonan untuk menjadi Pemerhati Pilihan Raya telah dibuka pada 11 Oktober 2022 dan ditutup pada 21 Oktober 2022. Permohonan masih boleh dikemukakan kepada SPR melalui e- mel pemerhati@spr.gov.my. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.spr.gov.my.

Related posts

Leave a Comment