Rakyat mengundi 19 November

PUTRAJAYA 20 Okt. –  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November, Sabtu sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala hari  penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 5 November.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada Selasa, 15 November manakala tempoh kempen  selama 14 hari.

Pelaksanaan pilihan raya itu akan melibatkan peringkat Parlimen di seluruh negara dan tiga negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak, Pahang dan Perlis.

Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya berkenaan di sini hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa 10 Oktober bagi memberi laluan kepada PRU15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Abdul Ghani juga memberitahu, tarikh keluar writ pilihan raya adalah pada hari ini.

Katanya PRU kali ini akan mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, 42 kerusi DUN Pahang, 15 kerusi DUN Perlis, dan 59 kerusi DUN Perak.

Bagi menjalankan proses PRU Ke-15 dan PRK DUN N.66, Sabah, SPR telah melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 orang Penolong Pegawai Pengurus.

Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil calon.

Katanya, sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

“Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU Ke- 15 dan PRK DUN N.66, Sabah agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya.

Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

“Walau bagaimanapun, Kertas Penamaan Calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus itu hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.

Mengenai petugas, sebanyak 363,515 orang akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Ke-15 dan PRK DUN N.66, Sabah manakala sebanyak 8,958 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi/saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

Related posts

Leave a Comment