Kadar tol 4 lebuh raya PROLINTAS turun

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Kadar tol empat lebuh raya di bawah Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) diturunkan di antara lapan dan 15 peratus bermula tengah malam tadi.

Empat lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).

Pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan kelas satu (kenderaan mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), kelas empat (teksi) dan kelas lima (bas).

“Bagi kenderaan kelas dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan kelas tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas), kadar tol adalah tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.

Ia menyaksikan kadar tol baru bagi kelas satu di AKLEH diturunkan dari RM2.50 kepada RM2.13; RM1.90 kepada RM1.75 (GCE); RM1.70 kepada RM1.56 (LKSA Seri Muda); RM0.90 sen kepada RM0.83 sen (LKSA Alam Impian) serta RM1.80 kepada RM1.66 di Kajang SILK.

Bagi kelas empat, kadar tol baru di AKLEH diturunkan dari RM1.80 kepada RM1.53, sementara tol lain dari RM0.90 sen kepada RM0.83 sen.

Sementara bagi kelas lima, kadar tol baru bagi kelas di AKLEH diturunkan dari RM1.50 kepada RM1.28; RM1.40 kepada RM1.29 (GCE); RM1.20 kepada RM1.10 (LKSA Seri Muda); RM0.60 sen kepada RM0.55 sen (LKSA Alam Impian) serta RM1 kepada RM0.92 sen di Kajang SILK.

Menurut kenyataan itu, seperti diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober 2022 lalu, penurunan kadar tol ini menandakan keprihatinan kerajaan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.

“PROLINTAS komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa termasuklah dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sehinggalah pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendaliannya,” katanya.

Katanya, pihak syarikat juga akan terus menyokong usaha-usaha kerajaan yang boleh memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat.

Related posts

Leave a Comment