Singapura had perhimpunan sosial

SINGAPURA 25 Sept. – Mulai Isnin ini, had perhimpunan sosial di Singapura dikurangkan daripada maksimum lima kepada dua orang dalam usaha pemerintah mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), ini termasuk kumpulan yang dibenarkan untuk duduk makan di cawangan makanan dan minuman (F&B) akan dikurangkan daripada lima kepada dua orang yang sudah lengkap divaksin.

Individu-individu yang belum divaksin dengan keputusan negatif ujian praacara yang sah, mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah boleh membentuk kumpulan dua orang di F&B.

Menurut MoH,  F&B hanya boleh menyediakan khidmat bawa pulang atau penghantaran jika tidak dapat memastikan kesemua pelanggan yang duduk makan di premis memenuhi kriteria sudah vaksin.

“Oleh sebab pusat-pusat penjaja dan kedai-kedai kopi menawarkan khidmat penting makanan bagi masyarakat, kebenaran duduk makan di premis tersebut dikekalkan dalam kumpulan sehingga dua orang, tidak kira status vaksinasi,” kata MoH.

Hiburan seperti persembahan secara langsung, muzik, rakaman video atau tayangan televisyen di cawangan-cawangan F&B terus dilarang.

MoH akan menyemak semula langkah-langkah tersebut dua minggu selepas ia dilaksanakan dan membuat penyesuaian berdasarkan keadaan dalam masyarakat.

“Kita tidak perlu kembali ke fasa kewaspadaan dipertingkat. Tetapi, kita harus melakukan lebih banyak lagi untuk mengurangkan interaksi sosial demi memperlahankan kadar penularan dalam masyarakat dan membolehkan keadaan menjadi lebih stabil,” kata MoH.

MoH juga menasihatkan para pelanggan cawangan-cawangan F&B mematuhi semua langkah pengurusan selamat dan memakai pelitup pada setiap masa kecuali apabila sedang makan atau minum.

“Jumlah maksimum pelawat unik bagi setiap isi rumah juga akan dikurangkan kepada dua orang setiap hari berbanding lima sekarag ini. Had itu tidak dikenakan kepada cucu-cucu yang dijaga datuk nenek mereka.

Individu seharusnya terus mengehadkan jumlah perhimpunan sosial secara keseluruhannya kepada tidak melebihi satu setiap hari, sama ada untuk ke rumah orang lain atau bertemu dengan kawan-kawan dan anggota keluarga di tempat awam.

MoH juga  menggalakkan semua individu untuk mengurangkan kegiatan sosial dan rajin memakai pelitup.

“Warga emas dan individu dengan pelbagai penyakit yang lebih mudah mengalami sakit teruk, seharusnya tinggal di rumah sebanyak mungkin, kecuali untuk kegiatan penting seperti bekerja, membeli makanan dan barangan runcit, berjumpa doktor dan bersenam secara individu di lokasi-lokasi tidak sesak.” kata MoH.

Related posts

Leave a Comment