Tiada lagi pencelahan Kasthuri Patto

TANJONG 20 Okt. – Kasthuri Patto, 43, wanita DAP yang sering mencelah setiap kali kaum sejenisnya  menjadi ‘mangsa’ anggota Parlimen tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Timbalan Setiausaha DAP Hal ehwal Antarabangsa itu berkata, beliau berundur secara terhormat dan tidak akan bertanding dalam PRU-15 kerana ingin memberi laluan kepada pemimpin masa hadapan dalam DAP dan Malaysia.

Justeru,  ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk Hubungan Antarabangsa itu menyangkal khabar angin yang menyatakan bahawa beliau digugurkan daripada mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Sebaliknya Kasthuri menegaskan keputusan itu dibuat atas kerelaan hatinya sendiri.

“Saya akan selama-lamanya terhutang budi kepada parti kerana menyediakan platform untuk saya berkhidmat kepada rakyat dan negara selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kepemimpinan parti telah memujuk saya untuk memikirkan semula keputusan ini namun, setelah berfikir panjang saya akan berpegang kepada keputusan saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Khasturi, beliau akan kekal dalam parti dan berhasrat meneruskan usaha serta tugasnya dalam isu hak asasi manusia antaranya berhubung pemansuhan hukuman mati, menjenayahkan perkahwinan kanak-kanak, keterangkuman jantina, kebebasan sivil dan keadilan sosial untuk semua.

Kasthuri, anak mendiang P.Patto membuat penampilan pertamanya bertanding di Parlimen Batu Kawan pada 2013 dengan meraih kemenangan sebanyak 25,962 undi dan mendapat sokongan majoriti lebih besar 33,553 undi pada PRU-14.

Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Jayanthi Devi Balaguru yang memperoleh 9,130 undi, serta Jay Kumar 2,636 (Pas) hilang wang pertauhan dan Ooi Khar Giap (Penang Front Parti) yang hanya mendapat 256 dan hilang deposit.

Related posts

Leave a Comment