Toe Seng gantung pengeluaran telur

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Toe Seng Capital Bhd menggantung pengeluaran telur dari Layer Farm 1, berikutan keputusan Agensi Makanan Singapura (SFA) menarik balik  telur berkenaan di pasaran negara itu disebabkan kehadiran Salmonella Enteritidis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Sabtu, Teo Seng berkata, ia juga memberi jaminan bahawa tiada telur dari ladang itu yang dijual untuk pasaran domestik serta eksport.

Bagaimanapun tindakan selanjutnya adalah menjalankan siasatan terhadap kejadian itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Keselamatan produk sentiasa menjadi keutamaan Teo Seng, semua lokasi ladang pengeluaran kami berjauhan sebagai langkah untuk mengurangkan pencemaran antara ladang. Teo Seng juga mengamalkan ujian makmal secara berkala ke atas pensampelan telur dari setiap ladang bagi memastikan keselamatan produk.

“Sehingga kini semua produk ladang lain telah diuji negatif Salmonella Enteritidis dan ini akan memastikan bekalan telur dari ladang lain selamat untuk dimakan dan tidak terjejas,” kata kenyataan itu.

Teo Seng berkata pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk menyiasat dan memantau ladang yang didakwa mengesan kehadiran Salmonella Enteritidis itu.

Kerjasama penuh akan diberikan kepada penyiasatan untuk mengenal pasti punca utama dan berusaha melakukan tindakan pemulihan yang sesuai untuk memastikan produk selamat dan menyambung semula penjualan telur dari ladang yang didakwa.

Menurut kenyataan itu, ladang berkenaan menyumbang kira-kira 3.5 peratus daripada jumlah pengeluaran syarikat.

Related posts

Leave a Comment