Pas akui undi berasingan tingkat kos

KOTA BHARU 15 Okt. – Pas mengakui tindakan parti itu yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan , Terengganu dan Kedah akan menyebabkan kos meningkat, kata Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun berkata setiap negeri mempunyai pendirian serta alasan masing-masing.

“Pandangan di setiap negeri adalah berbeza, hakikatnya memang begitu (kos meningkat) jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan berbeza kerana babit dua kos, itu kita akui.

Namun, setiap negeri yang enggan membubarkan DUN mempunyai justifikasi sendiri kenapa mereka tidak perlu terburu-buru dan PRN perlu diadakan asing, “ katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran penanaman 100 juta pokok peringkat Parlimen Kota Bharu, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, sehingga hari ini keputusan tidak membubarkan DUN di tiga negeri yang dikuasai mereka masih terpakai selagi belum tiba hari penamaan calon.

Ditanya berhubung pandangan penganalisis politik berhubung negeri yang enggan bubar DUN berisiko memakan diri pada PRN akan datang kerana pengundi tidak mahu pulang, Takiyuddin berkata itu andaian masing-masing.

“Itu andaian dan analisa mereka… ada orang kata, orang Kelantan ni cuti dua hari pun mereka akan balik,” katanya.

Sementara itu Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) itu mengesahkan namanya antara lima calon yang disenaraikan bagi Parlimen Kota Bharu pada PRU15.

Beliau yang masih mahu berkhidmat di Kota Bharu berkata : “Saya masih di Kota Bharu,” sebagai menjawab desas-desus mengatakan Ahli Parlimen Kota Bharu itu dijangka bertanding di Kedah.

Related posts

Leave a Comment